13 April 2011

Psikologi dan maksudnya

            Psikologi adalah perkataan yang berasal dari tamadun Greek purba iaitu dari perkataan ‘psyche’ dan ‘logos’. Psyche bermaksud ‘jiwa’ dan logos bermaksud ‘kajian mengenai sesuatu’. Oleh itu, psikologi boleh diertikan sebagai satu kajian mengenai sesuatu yang memberi kesan kepada jiwa seseorang.
            Merujuk kepada Kamus Dewan, psikologi didefinisikan sebagai “Kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya berhubungan dengan perlakuan manusia dan haiwan; pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu; dan kebijaksanaan memahami sifat manusia.”
            Terdapatnya beberapa definisi psikologi yang lain, yang menyokong pengertian psikologi di atas. Antaranya ialah:
•              “Kajian saintifik bagaimana minda manusia bekerja dan bagaimana ia mempengaruhi tingkah laku atau bagaimana sifat-sifat manusia tertentu yang mempengaruhi tingkah laku.” (Cambridge International Dictionary of English, pg. 383).
•              Henry L. Roediger dan rakan (1984) mendefinisikan psikologi sebagai “kajian yang sistematik mengenai tingkah laku dan pemikiran dalam kehidupan”.
•              Kalat (1999) pula mendefinisikan psikologi sebagai “kajian sistematik tentang tingkah laku manusia dan pengalaman”.
•             Williams (1960) pula telah mendefinisikan psikologi sebagai “satu cabang penyiasatan saintifik untuk tingkah laku dan aktiviti”.
•            Wittaker (1970) dalam bukunya “Introduction to Psychology” mengatakan psikologi ialah “sains tingkah laku”.
               Berdasarkan definisi-definisi di atas, dapatlah dirumuskan secara ringkasnya bahawa psikologi adalah “ satu cabang penyiasatan saintifik ke atas mental dan tingkah laku manusia”.

Tiada ulasan: